+603-8913 9191
info@mnkservices.com
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) — Terdapat keperluan untuk menarik minat bakat muda tempatan mempertimbangkan karier dalam industri maritim serta perkhidmatan yang berkaitan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata kejayaan industri maritim bergantung kepada bekalan tenaga kerja yang berkelayakan tinggi tanpa bergantung kepada bakat pelaut asing.
“Bagi memastikan ia dapat direalisasikan, industri ini haruslah dapat menarik minat generasi muda untuk menawarkan kerjaya yang menarik dan memuaskan,” katanya dalam ucapan pelancaran Hari Maritim Sedunia 2017 di sini hari ini.
Bercakap pada sidang media kemudian, Liow berkata pada masa ini terdapat 5,000 warga tempatan bekerja dengan syarikat perkapalan Malaysia.
Menurutnya, industri itu perlu meningkatkan bilangan pelaut tempatan kerana pada masa ini lebih 6,000 pelaut asing bekerja di atas kapal yang berdaftar di Malaysia.
Liow berkata industri itu telah melatih ribuan pelaut tempatan setiap tahun, tetapi kebanyakan mereka memilih untuk bekerja dengan syarikat perkapalan asing.
“Kami mahu mereka bekerja dengan syarikat perkapalan Malaysia, tetapi kita harus mengukuhkan industri perkapalan negara terlebih dahulu,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Menteri Pengangkutan berkata beberapa strategi dan usaha sedang dirancang untuk meningkatkan bilangan pelaut tempatan pada masa hadapan termasuk meminda Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 untuk mendaftarkan lebih banyak kapal Malaysia.
Liow berkata dengan pindaan itu, yang antara lain termasuk pendaftaran kapal secara dalam talian, akan dapat membantu mengurangkan birokrasi untuk mendaftarkan kapal Malaysia dan yang akan mengibarkan bendera Malaysia.
Usaha lain termasuk menganjurkan latihan untuk menarik lebih ramai pelaut dari Sabah dan Sarawak, katanya.
Liow menjelaskan strategi dan usaha itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Perkapalan Malaysia untuk memulihkan industri perkapalan dan sektor maritim di Malaysia melalui strategi berstruktur dan seterusnya membangunkan industri maritim negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Liow juga mengumumkan Malaysia berminat untuk menduduki Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) bagi penggal 2018-2019 semasa perhimpunan agung IMO November ini.
“Malaysia berminat dan bertekad untuk terus memainkan peranan aktif dalam mencapai aspirasi IMO bagi laut yang lebih selamat dan standard ekosistem maritim yang cemerlang. Saya yakin kita boleh menyumbang lebih banyak lagi sekiranya berkhidmat dalam majlis IMO,” katanya.
— BERNAMA